Tuesday, October 27, 2009

Hukum Kenduri Arwah.....

td ms tgh chat ngan kawan aku...tetiber die btanya mengenai hukum mengadakan kenduri arwah.....apakah akn diberikn pahala ke atas simati....so aku cube cari di internet...then aku jper artikel nie....

sumber:http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2000/ic23_2000.htm

Pada kebiasaannya, apabila ada kematian, majlis tahlil atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga orang yang telah meninggal dunia. Keluarga tersebut menjemput orang-orang hadir yang terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al-Qur‘an seperti surah Yasin, bertahlil dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Selepas acara tersebut semua tetamu yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Apakah amalan sedemikian sesuai dengan kehendak hukum syarak?

Sebagaimana yang kita ketahui, agama Islam sangat menggalakkan berbuat kebajikan seperti bersedakah, memberi makan dengan mengundang orang ke rumah dengan tujuan silaturahim, membaca ayat-ayat Al-Qur‘an dan berdoa beramai-ramai memohon rahmat bagi si mati dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya :
Tafsirnya: “ Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu , tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya”.
(Surah Al-Muzzammil: 20) 

Menurut Ibnu Hajar, adalah sunat bagi jiran si mati sekalipun bukan berasal dari negerinya atau bukan ahli keluarga si mati menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan ahli keluarga si mati pada hari tersebut hingga ke malamnya. Begitu juga sunat bagi keluarga si mati yang jauh berbuat demikian kerana ahli si mati ketika itu diselubungi oleh kesedihan di atas kematian tersebut. (Hawasyi Al-Syarwani dan Ibnu Qasim (Al-Tuhfah) : 3/207) 

Jika dilihat kepada kebiasaan kenapa majlis kenduri arwah itu diadakan, ialah bertujuan untuk memohon rahmat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati dengan mengajak dan membawa orang ramai khususnya sanak saudara supaya berdoa untuk si mati supaya si mati mendapat rahmat daripada doa tersebut; selain itu ia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan (silaturahim) di kalangan sanak saudara dan kerabat serta jiran. Maka dari sudut ini mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah suatu perbuatan yang baik dan digalakkan oleh Islam. 

Walau bagaimanapun, supaya tujuan kenduri tersebut selaras dengan kehendak agama, janganlah ia dianggap bahawa ia dibuat sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarganya. Begitu juga jamuan itu jangan dianggap sebagai suatu perkara agama yang di syari‘atkan. 

Jelasnya, mengadakan kenduri arwah dan membuat jamuan itu jika tujuannya untuk membalas budi baik kepada orang dan jiran kepada si mati serta menghubungkan silaturahim tidaklah menjadi kesalahan dalam agama. Yang lebih elok dan sunat pula, apabila kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban mereka kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah yang sebenarnya wajar dilakukan oleh orang Islam dalam usaha meringankan bebanan keluarga si mati dan di antara cara menghiburkan mereka. Inilah juga perkara yang disuruh oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai kepada Baginda berita kematian Ja‘afar bin Abi Talib, Baginda bersabda : 
Maksudnya: “Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja‘afar yang telah meninggal, (kerana) telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu)”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah) 

Berdasarkan hadis di atas adalah jelas bahawa menyediakan makanan oleh jiran atau keluarga sama adatau yang jauh kepada ahli keluarga si mati adalah perbuatan yang terpuji kerana berbuat begitu menzahirkan perasaan simpati, kasih sayang, silaturahim dan mengambil perhatian terhadap keluarga si mati. Di samping itu juga dianggap sebagai meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kesedihan. 

Di negara kita, timbul pula budaya baru dalam usaha meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kematian itu. Namun caranya bukan dengan menghantarkan makanan, tetapi dalam bentuk yang lain iaitu memberikan sampul-sampul surat sambil menziarahi keluarga dan mayat. Sampul-sampul itu berisi wang yang berbeza-beza jumlahnya untuk diberikan kepada keluarga si mati, sebagai tanda simpati. Yang lebih menarik lagi, ianya bukanlah terhad dilakukan oleh kaum kerabat dan jiran-jiran sahaja, malahan juga rakan taulan dan siapa sahaja, dengan tidak mengira jauh ataupun dekat. Budaya seumpama ini sesuai dengan kehendak sunnah seperti di atas yang wajar kita amalkan dan kekalkan.

Sebahagian orang mengadakan kenduri arwah ini sehingga empat puluh hari. Amalan sedemikian nampaknya tidak bertentangan dengan apa yang diriwayatkan oleh Mujahid apabila seseorang itu mati maka langit dan bumi akan menangis di atas kematiannya selama empat puluh pagi, kerana bumi dan langit kehilangan seorang hamba Allah yang sentiasa mengimarahkan bumi dengan ruku‘ dan sujud. Manakala langit pula kehilangan ucapan tasbih dan takbir. Menurut Ali dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa apabila seorang mukmin meninggal dia ditangisi oleh tempat ibadatnya di bumi dan tempat naik amalnya yang baik di langit. (Al-Qurtubi: 16/130) 

Islam sangat menggalakkan orang hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat yang lain supaya sentiasa membaca Al-Qur‘an, doa dan zikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang telah meninggal. Pada hakikatnya pembacaan Al-Qur‘an, bertahlil dan seumpamanya itu tidak hanya terhad atau terikat dengan tujuh hari, empat puluh hari atau disebut sebagai makan haul, bahkan bacaan-bacaan tersebut sepatutnya sentiasa diamalkan sepanjang masa supaya ibu bapa dan keluarga yang telah meninggal itu mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan sebagaimana yang dinanti-nantikan oleh mereka. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Umpama orang mati itu dalam kuburnya seperti orang karam yang berpaut dengan apa sahaja, dia menanti doa daripada anak, atau bapa atau saudara atau kerabat, dan sesungguhnya doa itu masuk ke dalam kubur si mati (iaitu) doa daripada orang yang hidup yang berupa cahaya seperti gunung besarnya”. 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyatakan bahawa tiap-tiap seorang hamba Allah mempunyai dua pintu di langit, sebuah pintu tempat amalnya naik dan sebuah lagi tempat rezekinya turun; maka apabila seseorang mukmin itu mati, ternyata kehilangannya oleh kedua pintu itu, lalu menangisinya. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, sebagaimana Baginda bersabda:
Maksudnya: “Orang mukmin itu mempunyai dua pintu, satu pintu bagi amal kebajikannya naik ke langit dan satu pintu tempat turun rezekinya daripada langit. Maka apabila seseorang itu mati kedua-dua pintu itu menangis. Oleh kerana itu Allah Ta‘ala berfirman: “Mereka itu (Firaun dan orang-orang yang tidak melakukan amal kebaikan di muka bumi ini, ketika dibinasakan) tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi”
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

No comments: